Menguruskan diri selepas bersalin secara pembedahan caesarean dan normal tidak sama. Selepas proses pembedahan, ada beberapa perkara yang perlu titikberatkan agar luka pembedahan itu dapat sembuh dengan baik. Jika tidak mahu merana diri di kemudian hari, teliti dan ikuti saranan seperti di bawah.
1. Bergerak aktif
Proses penyembuhan luka di bahagian pembedahan mengambil lebih masa untuk pulih berbanding wanita yang bersalin secara normal. Untuk memastikan luka cepat kering dan sembuh dengan sempurna, elakkan daripada membuat terlalu banyak pergerakan terutamanya di minggu-minggu awal selepas kelahiran. Minta tolong suami atau ahli keluarga yang bersama anda ketika dalam tempoh berpantang jika mahukan sesuatu.
2. Naik tangga
Jika tiada keperluan untuk menaiki tangga, adalah lebih baik anda elakkannya. Dibimbangi pergerakan yang dilakukan semasa melangkah di satu persatu anak tangga itu memberi tekanan kepada perut dan bahagian dalamannya. Namun, jika tidak dapat mengelakkannya, anda disarankan untuk naik tangga perlahan-lahan. Biar lambat, asalkan anda tidak perlu menanggung kesakitan di kemudian hari.
3. Angkat benda barat
Untuk sementara waktu ini, anda tidak perlu buat kerja-kerja yang memerlukan tenaga berlebihan seperti mengangkat benda yang berat. Minta sahaja bantuan daripada orang yang berada berdekatan dengan anda pada ketika itu untuk melakukannya. Ingat, jangan sesekali lakukannya. Bimbang nanti terbuka pula luka jahitan.
4. Ambil makanan bergas
Makanan bergas boleh mengakibatkan ketidakselesaan kepada ibu yang sedang berpantang. Lebih-lebih lagi yang bersalin menggunakan kaedah caesarean. Hal ini kerana usus akan memberi tekanan pada bahagian luka pembedahan. Jadi, elakkan diri daripada makan brokoli, asparagus, epal, oat, bijirin, pasta, keju, yogurt dan beberapa makanan lainnya.
5. Berendam dalam air panas
Elakkan daripada berendam di dalam tab berisi air panas sepanjang waktu berpantang. Hati-hati semasa mandi dan menguruskan bahagian luka pembedahan kerana ia perlu sentiasa kering. Luka pembedahan yang tidak kering dengan baik akan menggalakkan jangkitan dan menyebabkan ia sukar untuk sembuh mengikut tempoh masa yang sepatutnya.
6. Menggaru perut
Elakkan diri daripada kerap menggaru perut terutamanya kulit di bahagian luka pembedahan. Hal ini bagi mengelakkan jangkitan. Agar anda tidak mudah berasa gatal di bahagian berkenaan, hindari daripada mengambil makanan yang boleh menyebabkan kegatalan. Contohnya ayam. Selain daripada itu, pakai pakaian yang longgar agar bahagian berkenaan kurang berpeluh.
7. Bersin dan batuk
Seboleh mungkin, elakkan diri daripada terdedah dengan faktor-faktor yang boleh menyebabkan anda mengalami batuk dan selesema. Jika masalah ini berlaku, anda mungkin berasa tidak selesa di bahagian luka pembedahan akibat tekanan yang berlaku pada perut setiap kali anda bersin ataupun batuk.
8. Bersenam
Mana-mana ibu lepas bersalin, pasti mahu berat badan segera kembali kepada asal ataupun setidak-tidaknya lebih kurus berbanding semasa hamil. Anda boleh bersenam, tetapi elakkan sebarang jenis senaman yang melibatkan bahagian abdomen di antara empat hingga enam minggu selepas bersalin. Paling penting, dapatkan saranan doktor terlebih dahulu sebelum memulakan senaman atau memulakan diet bagi menurunkan lebihan berat badan yang masih tinggal.
9. Seks
Walaupun darah nifas sudah kering dan tempoh berpantang pun sudah tamat, anda disarankan untuk tetap ‘berpantang’ buat sementara waktu daripada mengadakan hubungan intim dengan suami. Anda boleh minta pendapat doktor tentang waktu yang sesuai sebelum mula bersama. Hal ini penting bagi memastikan luka pembedahan di bahagian dalaman benar-benar sembuh.
0 Response to "Selepas Bersalin Secara Caesarean, 9 Perkara Ini Perlu Mama Elak. Nombor 8 & 9 Kena Tangguhkan Dulu – Kelahiran"
Posting Komentar