Tahap enzim boleh menjadi tidak normal sekiranya seseorang mengambil pil hormon, kata pakar patologi kimia.
SHAH ALAM: Agen saraf VX bukan satu-satunya penyebab enzim cholinesterase dalam tubuh menjadi rendah, ia juga boleh disebabkan oleh pengambilan pil hormon, kata saksi kelima perbicaran kes pembunuhan Kim Jong Nan.
Pakar Patologi Kimia di Jabatan Patologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Norashikin Othman berkata, pengambilan pil hormon boleh menyebabkan enzim tubuh tidak normal.
“Tahap enzim boleh sedikit rendah sekiranya seseorang lelaki mengambil pil hormon,” katanya sewaktu memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.
Beliau menambah paras enzim rendah juga boleh berlaku jika seseorang menghidap penyakit hati yang kronik.
Enzim cholinesterase merupakan enzim di dalam tubuh yang mengawal otot dan koordinasi. Kekurangan enzim berkenaan menyebabkan otot dan jantung gagal berfungsi secara normal serta menyebabkan anak mata mengecil.
Sebelum ini, Norashikin mengesahkan paras enzim didalam tubuh Jong Nam rendah berbanding paras normal sewaktu ujian kimia melalui pengambilan darah dilakukan.
Dr Norashikin menjelaskan, enzim di dalam tubuh Jong Nam hanyalah 344 unit perliter berbanding paras normal seorang lelaki iaitu sebanyak 5320 sehingga 12,290 unit perliter.
Bahkan, julat enzim di dalam tubuh tertuduh yang membunuh Jong Nam, Siti Aisyah dan Doan Thi Huong pula berada di paras normal iaitu sebanyak 6781 dan 7163 unit perliter.
Apabila ditanya peguam tertuduh, Gooi Soon Seng, Dr Norashikin bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada pil hormon itu adalah pil hormon untuk wanita atau bukan.
Seorang lagi peguam tertuduh, Datuk Naran Singh mempertikaikan kredibiliti Norashikin sebagai pakar patologi berdasarkan laporan jabatan forensik.
“Berdasarkan laporan jabatan forensik mendapati enzim di tubuh Siti dan Doan berada di paras normal, adakah doktor (Norashikin) setuju bahawa tidak ada sentuhan berlaku di antara mereka berdua dan Jong Nam?” kata Naran.
“Sila nyatakan secara jujur, secara profesional seperti yang dilaporkan dalam laporan jabatan forensik,” kata Naran.
Norashikin sebanyak 2 kali tidak bersetuju dengan soalan diajukan Naran, namun akhirnya apabila diaju soalan sama buat kali ketiga, beliau bersetuju ada kemungkinan sentuhan di antara Siti, Doan dan Jong Nam tidak berlaku.
Dalam keterangan pendakwaan di hadapan Hakim Datuk Azmi Arifin, Siti dan Doan yang hadir berbaju kurung duduk di kandang tertuduh turut mendengar keterangan Norashikin.
Selain Norashikin, Pengarah Jabatan Forensik Patologi HKL Dr Mohd Shah Mahmud turut dipanggil sebagai saksi ke-6.
Dalam keterangannya setakat jam 4.30 petang sebelum mahkamah menangguhkan persidangan hingga esok, Mohd Shah banyak menerangkan mengenai istilah- perubatan yang tertulis di dalam laporan bedah siasat.
Siti dan Doan sebelum ini mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Mereka dituduh di Mahkamah Majistret Sepang atas pembunuhan Jong Nam. Ia berlaku ketika Jong Nam bersiap sedia menaiki pesawat ke Macau pada 9.00 pagi, 13 Februari.
Semasa di klia2, beliau didekati seorang wanita yang menyemburnya dengan cecair, sementara seorang lagi wanita melekapkan kain pada mukanya.
Kematian Jong Nam itu disusuli krisis diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara, yang menafikan tuduhan pembabitan Pyongyang.
The views expressed in the contents are those of our users and do not necessarily reflect the views of FMT.
0 Response to "Pil hormon mungkin punca enzim tubuh Jong Nam rendah, kata pakar"
Posting Komentar